PETALING JAYA: Penyanyi, Ara Johari, mencipta rekod baharu apabila lagunya, Menjaga Jodoh Orang Lain (MJOL) menduduki tempat pertama daripada carta RIM (Recording Industry Music of Malaysia).
Ara atau nama sebenarnya Nurfarrah Izzatie Johari, 27, berjaya mempertahankan kejayaan itu dua minggu berturut-turut.
“Alhamdulillah penat lelah saya dan team berbaloi dan ini menjadi pemangkin semangat untuk
saya mengeluarkan karya yang lebih baik pada masa akan datang.
“Saya gembira kolaborasi pertama saya bersama komposer Indonesia ini membuahkan hasil
yang amat membanggakan” ujarnya.
Bukan itu sahaja, video lirik lagu tersebut turut mencatat kejayaan luar biasa apabila meraih 10 juta tontonan di YouTube.
Melihat kepada peluang tersebut, Ara bercadang melebarkan sayap ke Indonesia bagi mempromosikan lagu tersebut.
“Kami masih dalam rangka rancangan bagi mempromosikan lagu ini ke Indonesia. Mungkin ada sedikit kelainan daripada lagu asal untuk kesesuaian pasaran di sana.
“InsyaAllah selepas Hari Raya Aidilfitri nanti kami akan ke sana” ujarnya.
Dalam pada itu, Ara berkata, kejayaan tersebut juga sedikit sebanyak memberi tekanan untuk dia mencari material baharu sesuai jangkaan peminat.
“Sekarang masih dalam proses mencari bahan untuk lagu akan datang. Sudah tentu agak stres kalau boleh mahu cari lagu yang lebih baik.
“Saya harap dapat bekerjasama dengan komposer-komposer baru dan tidak menolak jika diberi peluang mencuba genre berbeza,” ujarnya.
Sementara itu, Ara berkongsi keterujaan mempersembahkan lagu MJOL di pentas besar buat kali pertama di Gempak Most Wanted Award 2024 malam ini. -UTUSAN