KAJANG: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bertekad menambah seramai 1,000 jurulatih berkemahiran dalam usaha meningkatkan kapasiti latihan kepada 75,000 pelatih setiap tahun.
Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Aminurrahim Mohamed berkata, langkah itu bagi merealisasikan sasaran tambahan 150,000 pelatih dalam tempoh dua tahun seperti yang digariskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.
Katanya, ketika ini APM mempunyai 2,107 jurulatih berkemahiran yang mampu melatih kira-kira 33,000 pelatih secara kondusif setiap tahun.
“Namun, sasaran baharu ditetapkan kepada 150,000 pelatih dalam tempoh dua tahun, iaitu 75,000 orang setahun.
“Kerajaan sebelum ini telah menetapkan cabaran kepada APM untuk meningkatkan keupayaan kepada 150,000 anggota menjelang akhir tahun ini bagi memenuhi keperluan, terutama dalam menghadapi situasi kecemasan dan bencana banjir,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Sasaran +1000 Jurulatih di sini hari ini.
Kata beliau, pertambahan jurulatih akan membolehkan APM bekerjasama dengan institut latihan serta agensi kerajaan lain dalam menyebarkan kesedaran keselamatan kepada rakyat.
“Kolaborasi berkenaan adalah kunci utama bagi memperkasakan pertahanan awam negara, terutama di kawasan berisiko tinggi bencana alam dan ancaman keselamatan,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Khairus Masnan Abdul Khalid berkata, usaha tersebut penting bagi memastikan latihan dapat diberikan secara konsisten tanpa sebarang gangguan.
“APM perlu seiring dengan perubahan serta melaksanakan satu game changer dalam mencapai objektif seiring dengan nilai-nilai Malaysia MADANI.
“Dengan adanya lebih ramai jurulatih, lebih ramai rakyat akan menerima latihan asas dan meningkatkan keupayaan mereka dalam menghadapi situasi kritikal,” katanya.