Anwar, Wan Azizah ucap takziah keluarga mangsa kebakaran Umbai

Anwar, Wan Azizah ucap takziah keluarga mangsa kebakaran Umbai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kisah pilu Muhammad Khairuddin Sa’arin yang kehilangan isteri dan empat anak dalam tragedi kebakaran pada Khamis lepas mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar dan isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengucapkan takziah serta rasa dukacita terhadap kejadian yang meragut lima nyawa di Kampung Berangan Enam, Umbai, kelmarin.

Ucapan takziah itu sampai Timbalan Menteri Belia dan Sukan, yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abdul Halim, ketika menziarahi Muhammad Khairuddin.

Mangsa juga merupakan satu-satunya terselamat dalam kejadian yang berlaku pada jam 1.30 pagi itu.

Ketika lawatan tersebut, Adam Adli menghubungi Dr. Wan Azizah yang kemudian berbual dengan Muhammad Khairuddin menerusi panggilan telefon. 

Dalam perbualan itu, Dr. Wan Azizah menzahirkan rasa simpati dan mengingatkan agar beliau tabah menghadapi ujian ini.

“Reda ya, semua kita pinjaman, tolong ya. Reda, Allah takkan uji kita lebih daripada kita boleh tahan, kuatkan semangat,” katanya menerusi panggilan telefon itu.

Tragedi kebakaran itu meragut nyawa isteri Muhammad Khairuddin, Laila Fathinah Mustapa, 35, yang juga hamil lima bulan,m serta empat anak mereka iaitu Nur Damia Batrisyia, 13; Izz Daffa, 7; Nur Dalilah Khadijah, 6; dan Izz Danish Fathi, 4.

Muhammad Khairuddin, 35, terselamat selepas berjaya keluar menerusi tingkap, walaupun patah kaki kanan akibat kemalangan jalan raya hujung bulan lalu.

Jenazah lima beranak itu masih menjalani proses bedah siasat dan ujian DNA di Hospital Jasin dan dijangka boleh dituntut oleh waris minggu depan.

Sementara itu, Adam Adli turut menyampaikan sumbangan kepada Muhammad Khairuddin dan berharap beliau terus tabah menghadapi dugaan ini.

“Saya berharap Muhammad Khairuddin sentiasa tabah serta mendoakan semoga roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat Allah SWT,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya