PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan bahawa integriti dan amanah merupakan tunjang utama dalam perkhidmatan awam.
Justeru, katanya, insiden melibatkan enam pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam Op Airways yang dikaitkan dengan sindiket penyeludupan vape di Pusat Kargo KLIA harus dijadikan iktibar.
“Saya menyeru agar JKDM terus memperkukuh nilai integriti dalam kalangan pegawai kerana matlamat kerajaan ini jelas, amalan rasuah dan pencabulan terhadap usaha mengangkat darjat negara ini akan ditemui dengan tindakan tegas.
“Tidak kira terhadap mana-mana individu sahaja. Jangan pernah sesekali kita mencemarkan nama baik jabatan dan meroboh kepercayaan rakyat kepada kita,” katanya.
Teks ucapan Anwar dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof sempena Majlis Sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-43 Tahun 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, seiring dengan perkembangan teknologi hari ini dan pembangunan teknologi AI yang semakin kompleks diganding dengan kehidupan era ‘post-truth’, JKDM kini berhadapan dengan cabaran yang lebih kompleks.
Jelas beliau, jenayah-jenayah terdahulu tidak lagi terpacul dengan cara yang sama seperti hari ini.
“Maka, kesiapsiagaan warga Kastam pada hari ini haruslah selari dengan peredaran zaman yang semakin mencabar, kecelikan teknologi dan kemampuan kita untuk lebih kreatif dalam penguatkuasaan perlu lah menjadi keutamaan.
“Namun, saya cukup yakin dengan keupayaan tinggi
pegawai dan anggota JKDM untuk membawa hasil yang lebih memberangsangkan kepada negara serta membanteras jenayah kontraban dengan lebih berkesan,” ujarnya.
Pada masa sama, Anwar berkata, semangat kekitaan (sense of belonging) dalam kalangan warga JKDM perlu terus dipupuk.
Menurut beliau, pegawai-pegawai serta keluarga besar warga Kastam perlu faham akan impak besar usaha mereka kepada negara dan dengan kefahaman itu mereka dapat melaksanakan tugas bersama dengan penuh amanah dan tanggungjawab.
“Saya dimaklumkan bahawa kutipan hasil JKDM pada
tahun 2024 adalah sebanyak RM65.57 bilion iaitu peningkatansebanyak RM10.40 bilion ketimbang tahun 2023. Prestasi ini amat membanggakan. Tahniah. Ia membuktikan keupayaan JKDM untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Madani yang mampan.
“Segala usaha, kudrat dan pengorbanan warga JKDM telah membentuk imej jabatan ini sebagai institusi yang dipercayai dan disegani. Saya yakin, dengan niat yang ikhlas dan kerjasama berpasukan yang kukuh, JKDM akan terus mencatat kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN