IPOH: Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dijangka tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti itu yang bakal diadakan Mei ini.
Hal ini dijangka berlaku susulan rundingan dalaman yang sedang dijalankan bagi memastikan status quo Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Rafizi Ramli kekal memegang jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.
Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin, berkata, proses mengadakan rundingan supaya jawatan utama tidak dipertandingkan sedang berlangsung.
“Ada perundingan yang sedang kita lakukan supaya jawatan utama tidak dipertandingkan,” katanya dalam Program Back To School 2025 Parlimen Tambun di sini semalam.
Katanya, PKR memutuskan pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat, Majlis Pimpinan Wanita Pusat dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat parti, 24 Mei ini.
Baru-baru ini timbul isu rundingan dalaman PKR mengenai pemilihan parti yang akan diadakan pada Mei depan dan ada usaha untuk memastikan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, yang disandang Anwar dan Rafizi kekal tanpa dipertandingkan.
Mengenai dakwaan langkah tersebut boleh melanggar prinsip demokrasi dalam parti, Shamsul Iskandar menegaskan, perundingan itu juga adalah sebahagian daripada proses demokrasi.
“Bertanding pun demokrasi. Tidak ada pertandingan itu pun demokrasi juga. Apabila tidak ada pertandingan, bermakna ada berlaku perundingan. Perundingan itu demokrasi,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad ketika dihubungi Mingguan Malaysia berkata, pemilihan kali ini perlu lebih tertumpu ke arah mengukuhkan kedudukan parti yang kini merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan dan penambahbaik yang antara lain meliputi pelapis yang bakal mewarisi PKR.
“Pemilihan ini untuk menstabilkan Kerajaan Perpaduan di bawah Presiden, pada masa sama, proses melahirkan pimpinan pelapis yang menjadi kekuatan PKR perlu diteruskan.
“Ramai pimpinan umur 40-an dalam PKR telah pun dalam arus perdana pimpinan seperti jawatan Timbalan, Naib-Naib Presiden, Ketua Penerangan, Pengarah Komunikasi dan lain-lain.
“Kita mahu teruskan proses lahirkan pimpinan baharu yang dapat berganding baik dengan pimpinan berpengalaman,” katanya. – UTUSAN