IPOH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kecewa apabila ada pihak yang memperlekehkan usaha Malaysia membantu Gaza dan menyatakan tindakan sedemikian bukan cara Islam.
Anwar berkata usaha itu disindir sedangkan bumi Gaza dan Palestin telah melalui malapetaka paling dahsyat sejak Perang Dunia Kedua.
“Ada golongan yang kononnya cerdik, pemimpin-pemimpin lama dulu berkata sekolah kita pun tak selesai nak tolong orang lain. Ini perasaan hati manusia bagaimana ini?
“Kita tolong orang kampung lain, boleh kata kampung kamu (masalah) pun belum selesai. Dalam Islam tidak pernah fikir begitu,” katanya sewaktu berucap dalam Majlis Kenduri Rakyat di luar pekarangan Masjid Al-Muttaqin Taman Meru di sini semalam.
Kelmarin Anwar berkata, Malaysia akan menggerakkan usaha membina sebuah sekolah, hospital dan masjid di Gaza bagi meringankan penderitaan penduduk Palestin susulan pengumuman gencatan senjata di Gaza.
Bagaimanapun komitmen itu dipersoalkan oleh beberapa individu termasuk bekas pemimpin tertinggi yang menyarankan kerajaan memberi keutamaan menyelesaikan isu dalam negara terlebih dahulu.
Anwar melihat langkah kerajaan itu adalah wajar kerana kesengsaraan dahsyat dihadapi rakyat Palestin di Gaza sejak lebih setahun lalu adalah jarang berlaku.
“Dalam hidup kita, sejak Perang Dunia Kedua sampai sekarang, inilah malapetaka paling dahsyat yang menimpa umat Islam, yang menimpa umat manusia. Hancur lebur negerinya, dihina, tidak diberi pengiktirafan sama sekali. Anak kecil, wanita, sekolah habis dimusnahkan
“Apabila kita nak tolong sedikit apa jawapan mereka? Oh, nak selesaikan masalah (dalam Malaysia). Sampai kiamat pun masalah dalam negara tidak mungkin selesai, ada sahaja yang kurang,” katanya.
Sementara itu, semasa berucap pada majlis perayaan Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak di Ipoh, semalam, Anwar berkata Malaysia perlu berbaik dengan semua negara tanpa menyebelahi mana-mana kuasa besar baik China atau Amerika Syarikat (AS) dan mengingatkan rakyat supaya tidak terperangkap dengan dakwaan kononnya negara akan diserahkan kepada kuasa besar seperti China.
Sebaliknya, hubungan baik dengan negara seperti China perlu dimanfaatkan kerana negara itu telah mencapai kemajuan teknologi moden termasuk menghasilkan kecerdasan buatan (AI) berjenama DeepSeek yang mengejutkan pesaing dunia.
“Jangan kita terperangkap dengan pemikiran lama dengan hanya bergantung kepada satu negara. Kita perlu baik dengan semua negara. Kalau negara itu ada masalah dengan negara China, itu masalah dia,” katanya.
Anwar berkata, beliau sendiri akan terus mengadakan pertemuan pemimpin termasuk Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan yang akan berkunjung ke Malaysia pada Februari ini.
“Kita perlukan kawan. Tidak boleh bergantung. Dulu kita memihak belah sana belah sini, kita teruskan dengan AS, kita baiki hubungan dengan Kesatuan Eropah, baiki dengan BRICS dan kita rapat dengan China.
“Ada orang bangkitkan di kampung-kampung kita serah semua kepada negara China. Itu pemikiran yang rosak. Kalau kita banyak dengan AS tiada apa pula, dengan Eropah tiada apa pula.
“Ini mentaliti penjajah. Bagi kita, sesiapa pun termasuk negara China yang datang melabur kita berikan galakan, yang baik dengan kita, kita lebih baik dengan mereka. Ini dasar kita,” katanya.
Jelasnya, untuk memastikan Malaysia terus membangun dan relevan, rakyat harus memikirkan kepentingan negara secara keseluruhan dan tidak terikut dengan idea pihak-pihak yang mahu menjadi jaguh. – UTUSAN