KUALA LUMPUR: Isu melibatkan kedudukan Malaysia terhadap dasar pelaksanaan tarif yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump antara persoalan yang bakal dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat persidangan Dewan Rakyat, perkara tersebut terkandung dalam sesi pertanyaan bagi Jawab jawab lisan yang akan diajukan oleh Lim Guan Eng (PH-Bagan) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pertanyaan tersebut melihat kepada kepada pendirian Malaysia adakah akan bersama negara China, Kanada dan Mexico dan apakah strategi kerajaan untuk melindungi ekonomi rakyat Malaysia daripada kesan tarif ini.
Dalam sesi sama, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (PN-Beluran) turut meminta Perdana Menteri menjelaskan adakah kerajaan bercadang untuk mengkaji semula dasar sedia ada iaitu penghasilan 70 peratus beras tempatan dan pengimportan 30 peratus beras luar untuk kegunaan rakyat di negara agar industri padi kekal utuh selaras Dasar Agromakanan Negara 2021-2030.
Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff (PN-Rantau Panjang) meminta Menteri Pendidikan menyatakan pelan Kementerian untuk menangani isu keciciran pelajar, terutama di kawasan pedalaman dan golongan B40 yang menghadapi cabaran dalam pembelajaran.
Persidangan Parlimen kemudian disusuli dengan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) yang meminta Menteri Luar Negeri menyatakan bagaimana Malaysia selaku Pengerusi ASEAN mengimbangi hubungan bersama BRICS dan ancaman Trump.
Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-15 akan berlangsung selama 21 hari iaitu hingga 6 Mac ini.-UTUSAN