MEMILIKI rekod cemerlang dalam penampilannya menerusi filem horor Indonesia, Lembayung. Pelakon, Anna Jobling dipuji kerana mampu menghadiahkan kesan seram pontianak yang pernah diberikan Maya Karin menerusi filem ikonik Pontianak Harum Sundal Malam.
Berkat filem arahan Suhaimi Baba itu, bakat Maya diiktiraf diperingkat antarabangsa dengan mengungguli gelaran Aktres Terbaik Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) di Fukuoka, Jepun pada 2004.
Ramai yang teruja apabila pengarah filem itu, Datin Paduka Shuhaimi Baba sedang bekerjasama dengan Kavita Sidhu untuk menghasilkan sekuel ketiga Pontianak Harum Sundal Malam.
Bagaimanapun, Maya Karin menafikan menerima sebarang makluman berkenaan perkara itu membuatkan ramai berteka-teki siapakah yang layak menggantikan karakter Meriam lakonannya.
Pertanyaan itu akhirnya terjawab selepas Anna Jobling mengesahkan ada menerima tawaran daripada pihak produksi untuk karakter pontianak dalam projek sekuel filem tersebut.
“Betul, saya dilamar untuk terlibat dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam 3. Tapi setakat hari ini tiada apa-apa kepastian yang boleh dikongsikan.
“Kalau jadi, anda akan jumpa saya dalam filem itu. Jika tidak, InsyaAllah akan ada rezeki yang lain,” katanya ketika ditemui di Auditorium MBSA, pada Ahad.
Mengulas mengenai tawaran itu, pelakon Syurga Itu Bukan Mudah mengakui teruja kerana filem tersebut merupakan naskhah seram pertama yang ditontonnya semasa masih kecil.
“Saya sedia jadi pontianak. Lebih-lebih lagi ia merupakan filem seram pertama yang saya tonton sejak kecil.
“Watak Maya Karin sangat melekat dalam kepala saya sampai hari ini,” katanya.
Filem Pontianak Harum Sundal Malam mula ditayangkan kali pertama pada 2004 terbitan Pesona Pictures mengisahkan tentang seorang penari istana bernama Meriam yang dibunuh saat sedang hamil.
Demi membalas dendam, roh Meriam terus menghantui individu yang berniat jahat ke atas waris dan keturunannya.
Mahu watak penyondol, antagonis
Sudah beberapa kali membawakan watak seorang ibu, atau isteri yang tersakiti. Anna merancang kerjaya seninya pada 2025 untuk lebih selektif dalam pemilihan watak. Dia mahu keluar daripada zon selesa dengan karakter antagonis seperti penyondol.
“Saya sangat sedia melakonkan watak antagonis. Saya rasa sudah cukup bawakan watak baik-baik.
“Selalunya kalau bawa watak jahat, kita akan dikecam. Saya tiada masalah dikecem kerana watak tersebut. Itu menandakan saya lakukan kerja yang baik.
“Saya tidak akan ambil komen itu dalam hati. Itulah misi watak jahat, supaya orang benci kita,” katanya.