PETALING JAYA: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) mewakili Malaysia pada Majlis Pelancaran sambutan Tahun Koperasi Antarabangsa (IYC) 2025 peringkat rantau Asia Pasifik dan Jepun (IYC2025 Kick Off for Asia Pacific Region and Japan) yang telah berlangsung dengan penuh bersejarah di United Nations University, Tokyo pada 19 Februari 2025.
Majlis yang dianjurkan oleh International Cooperative Alliance Asia and Pacific (ICA-AP) dengan kerjasama IYC2025 Japan Committee dan International Labour Organization (ILO) Japan telah berjaya menghimpunkan seramai 250 orang pemimpin koperasi rantau Asia Pasifik, wakil kerajaan, dan pertubuhan antarabangsa secara fizikal dan 450 orang secara dalam talian.
Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, yang juga Naib Presiden International Cooperative Alliance Asia and Pacific (ICA-AP) diberi pengiktirafan menyampaikan pembentangan mewakili Malaysia mengena perancangan dan aktiviti gerakan koperasi negara dalam menyemarakkan sambutan Tahun Koperasi Antarabangsa (IYC2025).
Dr. Abdul Fattah dalam pembentangannya menekankan komitmen Malaysia terhadap IYC2025 dengan menggariskan pelbagai inisiatif nasional yang telah dirangka antaranya termasuklah penubuhan Jawatankuasa Pemandu IYC2025 yang dipengerusikan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Institut Koperasi Malaysia.
Beliau turut membentangkan inisiatif Angkasa yang akan memanfaatkan Kepengerusian ASEAN 2025 dengan menjadikan koperasi sebagai salah satu agenda utama dalam sidang kemuncak ASEAN.
Sokongan kerajaan Malaysia terhadap Angkasa selaku badan apeks gerakan koperasi dengan memperuntukkan RM1 juta bagi menyokong program koperasi ASEAN akan digerakkan menerusi penganjuran ASEAN Cooperative Dialogue (ACD) pada bulan Mei 2025.
Program ini dijangka menjadi platform utama dalam memupuk kerjasama antara koperasi yang bakal menghimpunkan kira-kira 200 peserta yang terdiri daripada wakil kementerian, agensi, koperasi dan badan koperasi apeks dari negara-negara ASEAN.
Dalam ucapannya, beliau turut memberi penekanan kepada kepentingan membina rangkaian kerjasama koperasi serantau, khususnya dalam menghadapi cabaran ekonomi yang semakin dinamik.
Dalam konteks ini, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah menggesa gerakan koperasi untuk memperkukuh perdagangan antara koperasi dengan koperasi (C-2-C) menerusi inisiatif yang menyediakan ekosistem kondusif bagi aktiviti perdagangan dan pelaburan koperasi.
Justeru, Malaysia menerusi Angkasa mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama dan perkongsian dengan koperasi rantau Asia Pasifik bagi memastikan IYC2025 benar-benar memberi impak yang signifikan kepada pertumbuhan dan kemajuan koperasi global seiring dengan tema yang diangkat iaitu “Koperasi Membina Kesejahteraan Sejagat”. – UTUSAN