KLUANG: Seorang anggota tentera sebuah kem di sini yang dilaporkan hilang sejak Selasa lalu ditemukan selamat dan sudah kembali ke pasukannya.
Dahalan Abdullah, 61, berkata, anaknya, Muhammad, 22, ditemukan hanya kira-kira 500 meter dari kem tempatnya bertugas kira-kira pukul 6 petang semalam.
Walau bagaimanapun, Dahalan tidak memaklumkan kenapa dan punca kehilangan anaknya itu.
“Anak saya ditemukan dalam keadaan selamat bersama-sama motosikal miliknya tidak jauh dari kem tersebut, namun tidak memaklumkan sebab-sebab tidak pulang ke pasukan.
“Berikutan penemuan itu, pencarian yang dilakukan sebaik sahaja kehilangannya dimaklumkan oleh anak menantu dianggap selesai,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan seorang anggota tentera hilang selepas keluar untuk menggunting rambut kira-kira pukul 10 pagi, Selasa lalu.
Anak ketujuh daripada lapan beradik itu menyertai angkatan tentera sejak tiga tahun lalu.