GOMBAK: Seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah lori dalam kejadian di Batu 10, Jalan Gombak Lama menghala ke Bentong, di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu pada pukul 3.48 petang.
“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 3.10 petang melibatkan seorang wanita tempatan berusia 73 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC.
“Sewaktu kejadian, mangsa sedang bertugas mengawal lalu lintas bagi sebuah acara larian maraton sebelum dirempuh sebuah lori yang dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa berada di bahu jalan sebelah kiri sambil mengarahkan beberapa kenderaan untuk mengosongkan laluan sebelum dirempuh lori berkenaan secara tiba-tiba.
“Akibat pelanggaran tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Selayang.
“Bagaimanapun, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya yang memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 – UTUSAN