SEPANG: Bagi memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR), Andalusia Travel and Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) menaja individu orang kurang upaya (OKU) yang tular akibat dipukul di Terengganu baru-baru ini menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci.
Turut menerima tajaan ialah dua orang anak Ahmad Nor Al Faizan Jusoh selain seorang imam masjid yang menjadi pengiring.
Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, hasrat penajaan Ahmad Nor Al Faizan sekeluarga ke Tanah Suci bagi membuka peluang kepadanya berdoa kepada Maha Pencipta.
“Kita mahu dia yang mengalami nasib malang ekoran kejadian berlaku baru-baru ini dapat meminta doa kepada Allah di depan kaabah dan berkongsi rezeki bersama mereka yang kurang bernasib baik,” katanya ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini semalam.
Pihaknya berharap Ahmad Nor Al Faizan mendapat ketenangan di Tanah Suci, sekali gus membolehkannya menjalani kehidupan lebih baik.
“Andalusia memperuntukkan RM7,000 setiap individu termasuk dua orang anaknya dan seorang imam masjid.
“Kami merasakan beliau perlu dikelilingi orang tersayang ketika berada di Tanah Suci, jadi tajaan itu turut melibatkan ahli keluarga dan imam masjid yang selalu dikunjunginya,” katanya.
Ida Riswana memberitahu, rezeki diperoleh akan terus dikongsi bersama individu memerlukan.
“CSR akan terus dilaksanakan, ia bukan sesuatu yang kami rancang, tetapi melihat kepada peluang yang ada untuk berkongsi rezeki,” jelasnya. – UTUSAN