GEORGE TOWN : “Dia memang hari-hari akan joging. Jadi, terkejut jugalah. Dia juga tak ada apa-apa masalah kesihatan.”
Itu kata anak kepada Allahyarham Ishsam Shahruddin iaitu Muhammad Iszul Imadi Ishsam, 29, ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang (HPP) malam ini.
Ishsam, 59, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning pengsan dan tidak sedarkan diri ketika berada di Stadium Bandaraya di sini kira-kira pukul 5.20 petang tadi.
Ketika kejadian, wakil rakyat Perak yang juga bekas pemain Perak dan skuad kebangsaan itu dikatakan sedang bersalaman dengan pemain lain di tepi padang sempena Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru Piala Ketua Menteri Pulau Pinang.
Ishsam kemudian segera dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) kira-kira pukul 5.40 petang setelah bantuan kecemasan diberikan di tepi padang, namun, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 6.28 petang tadi.
Mengulas lanjut, Muhammad Iszul Imadi Ishsam berkata, dia mendapat tahu berita mengejutkan itu daripada ibunya sebelum bergegas ke hospital.
“Ayah (Ishsam) memang suka main bola. Jadi, kami sedihlah dengan kejadian ini. Apapun, kami sekeluarga reda dengan pemergiannya,” kata anak kedua daripada empat beradik itu.
Jenazah dibawa pulang ke Ipoh kira-kira 10.40 malam tadi dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rapat Setia, Ipoh, Perak pada jam 11 pagi esok.

Terdahulu, isteri Allahyarham, Rozlita Abdullah bersama ahli keluarganya serta beberapa pemimpin UMNO Perak dan Pulau Pinang dilihat tiba di Jabatan Perubatan Forensik hospital itu kira-kira jam 8.49 malam.
Dalam pada itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow yang turut meluangkan masa singgah ke Jabatan Perubatan Forensik HPP selepas pulang dari lawatan kerja ke Jepun menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
“Saya, bagi pihak kerajaan negeri Pulau Pinang dan saya sendiri, mengucapkan taziah kepada keluarga YB (Yang Berhormat) Ishsam. Ini adalah berita yang mengejutkan. Tetapi, inilah hakikat yang kita perlu terima,” ujar beliau.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad memberitahu, kematian Ishsam dipercayai berpunca daripada masalah ‘acute coronary syndrome’ atau serangan sakit jantung.
Katanya, keputusan tersebut diperoleh hasil bedah siasat yang selesai kira-kira pukul 9 malam tadi.-UTUSAN