REMBAU: Suasana suram menyelubungi pekarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau, di sini malam ini di lokasi bedah siasat anak bongsu pelakon Ayu Raudhah, dan bekas pemain bola sepak kebangsaan, Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak yang dilaporkan meninggal dunia petang tadi.
Difahamkan, Muhammad Aisy Al Rees yang berusia enam bulan dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) selepas dipercayai tidak sedarkan diri kira-kira pukul 1 petang di kediaman keluarga pasangan suami isteri itu di Taman Sri Pulai, Sikamat.
Selepas kematian bayi tersebut disahkan oleh pegawai perubatan, jenazah dihantar ke Hospital Rembau bagi proses bedah siasat.
Proses bedah siasat dijalankan kira-kira pukul 10.30 malam dan dijangka akan dimandi serta dikapankan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan pengurusan jenazah sebelum jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Makam Haji Mohd. Said di Seremban, sebelum pukul 10 pagi esok.
Sementara itu, keluarga dan rakan terdekat pasangan suami isteri itu turut kelihatan hadir di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau bagi memberikan sokongan emosi.
Terdahulu Mohamad Zaquan Adha berkongsi berita duka pemergiaan anak ketujuhnya itu di akaun Instagram miliknya petang tadi. – UTUSAN