MELAKA: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan mengumumkan sama ada mempertahan kedudukan sebagai Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau bertanding jawatan Timbalan Presiden, selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim esok.
Amirudin berkata, majoriti penyokong memintanya bertanding jawatan lebih tinggi iaitu sebagai Timbalan Presiden.
“Tapi kemungkinan besar saya akan mempertahankan jawatan selaku Naib Presiden dan kemungkinan besar itu di situ.
“Cuma ada permintaan-permintaan daripada beberapa pihak, jadi saya kena berbincang sedikit dengan penyokong-penyokong ini sebab mereka mengharapkan sesuatu pertandingan di beberapa peringkat yang lain.
“Esok saya akan buat keputusan rasmi di Selangor selepas mengadakan pertemuan dengan Anwar, sama ada mempertahankan jawatan atau bertanding Timbalan Presiden,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Keadilan Melaka 2025 di Ayer Keroh di sini, sebentar tadi. – UTUSAN