IPOH: Parti Amanah Negara (Amanah) Perak memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN) untuk meletakkan calon mewakili Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning berikutan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin kelmarin.
Pengerusinya, Datuk Asmuni Awi berkata, Amanah Perak juga telah memulakan persiapan awal menyusun jentera bagi memastikan calon yang bakal dinamakan oleh BN nanti mengekalkan kemenangan di Ayer Kuning.
Menurutnya, ini sekali gus mengukuhkan kerjasama dan semangat perpaduan antara BN-PH khususnya di negeri Perak.
“Sokongan yang tidak berbelah bahagi ini antara lain bagi memberi isyarat jelas kepada rakyat bahawa kestabilan politik yang dicapai menerusi Kerajaan Perpaduan perlu dipelihara dan diperkukuh.
“Ini bagi memastikan perancangan dan dasar yang sedang dilaksanakan sama ada di peringkat negeri mahupun Pusat adalah keutamaan kepada negara pada ketika ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, Amanah Perak juga dalam Mesyuarat Pengurusan Amanah Perak yang diadakan semalam telah mengarahkan sayap parti Angkatan Wanita Amanah Pemuda dan Wanita Muda membuat perbincangan rasmi bersama BN bagi menyusun strategi menghadapi PRK nanti.
“Amanah Perak juga yakin bahawa Kerajaan Perpaduan di negeri Perak ini boleh menjadi model terbaik dalam mempamerkan keutuhan kerjasama BN-PH dan manfaat yang diperolehi rakyat menerusi dasar dan polisi yang dilaksanakan,” katanya.
Ishsam, 59, meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika menyertai perlawanan bola sepak persahabatan empat penjuru di Stadium Bandaraya di George Town, Pulau Pinang kira-kira pukul 6 petang kelmarin.
Pada PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15) sebelum ini, Ishsam yang pertama kali bertanding memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning mengalahkan empat calon lain dengan majoriti 2,213 undi. – UTUSAN