KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang bakal digubal, kesiapsiagaan kerajaan dalam menangani banjir dan polisi tangani bahan lucah antara tumpuan Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, Tan Har King (PH-Gopeng) meminta Perdana Menteri menyatakan komitmen kerajaan atas cadangan RUU Pembaharuan Semula Bandar (URA).
Ia bagi memastikan tiada sesiapa pemilik tanpa kira kaum diusir daripada pemilikan tanah atau premis secara paksaan seperti yang dinyatakan dengan jelas Perkara 13 dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sesi akan diteruskan dengan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) minta Perdana Menteri menyatakan langkah proaktif menangani banjir pada setiap kali musim monsun dan faktor luar jangka di kawasan yang sering dilanda banjir serta berpotensi dilanda banjir pada masa akan datang.
Dalam pada itu, William Leong Jee Keen (PH-Selayang) meminta Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan menyatakan langkah-langkah kementerian dalam menggalakkan pengeluaran dan penggunaan barang-barang yang diperbuat melalui reka bentuk mesra alam
eco-design.
Langkah itu bagi memastikan ketahanannya dan kebolehan digunakan semula atau dikitar semula, selari dengan usaha kementerian dalam mengalihkan Malaysia ke ekonomi kitaran.
Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) pula meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan apakah skim bantuan tersedia untuk membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana di negara ini semasa tempoh peralihan apabila gaji minimum baharu dilaksanakan.
Selain itu, Dr. Halimah Ali (PH-Kapar) meminta Menteri Komunikasi menyatakan apakah polisi dan langkah kementerian menangani iklan bahan lucah di media sosial, tabloid dan media massa dalam talian.
Jelasnya, perkara itu boleh menjadi faktor rangsangan berterusan untuk individu melakukan gangguan seksual dan berpotensi mengakibatkan rumah tangga berantakan.
Sesi kemudiannya beralih kepada sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih atas Titah Diraja bagi Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Digital, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Jabatan Perdana Menteri. – UTUSAN