KUALA LUMPUR: Pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) dibentangkan di Parlimen dalam masa terdekat selepas beberapa cadangan penambahbaikan dimuktamadkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, lebih 20 sesi mesyuarat jawatankuasa, lima bengkel pembangunan dan penetapan sudah dilaksanakan bagi meneliti semula Akta 711.
Kata beliau, dalam tempoh sama juga sebanyak enam sesi libat urus turut diadakan dengan pelbagai pihak berkepentingan seperti agensi kerajaan, agensi penguatkuasaan utama serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Terdapat keperluan untuk menambah baik Akta 711 ini berdasarkan amalan terbaik dari negara lain termasuk daripada aspek pemakaian undang-undang berkaitan perkara sulit dan rahsia, mekanisme pembatalan perlindungan yang diberikan serta perlindungan kepada agensi penguatkuasaan yang terpaksa mendedahkan identiti pemberi maklumat.
“Sepanjang usaha penambahbaikan untuk memperkukuhkan fungsi Akta 711 ini, pelbagai maklum balas penting sudah diterima daripada agensi-agensi kerajaan dan NGO. Beberapa cadangan dasar sedang dipertimbangkan untuk diangkat,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Azalina berkata, beberapa cadangan dasar sedang dipertimbangkan untuk diangkat bagi pertimbangan Jemaah Menteri dan beliau berharap ia boleh dibentangkan di Dewan Rakyat pada persidangan ini.