PETALING JAYA: Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 [Akta A1667] di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bertujuan menambah baik pengurusan hutan simpanan kekal (HSK), berkuat kuasa hari ini.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia susulan mendapat perkenan Diraja pada 7 September 2022 dan disiarkan dalam Warta pada 20 September 2022.
“Penguatkuasaan P.U.(A) 50/2025 menjadikan Wilayah Persekutuan (JPWP) sebagai negeri kedua yang mempunyai perundangan dan prosedur bagi menjalankan siasatan awam sebelum pewartaan keluar HSK selepas Selangor.
“Kaedah-kaedah ini memperincikan proses kerja di peringkat sebelum, semasa dan selepas siasatan awam dijalankan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Secara keseluruhannya, Akta A1667 mengandungi 62 peruntukan yang melibatkan pindaan dan penambahbaikan seperti memperketatkan proses pewartaan keluar dan penggantian HSK dengan memperkenalkan keperluan siasatan awam sebelum sesuatu HSK diwarta keluar.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi turut berkata, kaedah-kaedah itu boleh dijadikan rujukan kepada negeri lain yang ketika ini sedang menggubal perundangan subsidiari masing-masing bagi menguatkuasakan Akta A1667.
“Pada masa ini, keluasan keseluruhan HSK di Wilayah Persekutuan ialah 152.97 hektar yang merangkumi 84.689 hektar HSK di Kuala Lumpur dan 68.281 hektar HSK terletak di Labuan.
“Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Perhutanan Wilayah Persekutuan (JPWP) sedang berusaha untuk menambah keluasan kawasan HSK di Wilayah Persekutuan dengan mewartakan kawasan Bukit Dinding, Mukim Ulu Kelang, Kuala Lumpur seluas 20.05 hektar,” katanya.
Nik Nazmi berkata, melalui pewartaan berkenaan, kawasan itu akan dapat dilindungi dan dikekalkan sebagai kawasan hijau selain boleh bertindak sebagai ‘paru-paru hijau’ bagi kawasan di sekitarnya.
“Pewartaan ini juga akan meningkatkan keluasan kawasan HSK di Wilayah Persekutuan khususnya dan negara amnya, sekali gus menyokong komitmen negara untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada kawasan tanah negara sebagai kawasan litupan hutan dan pokok-pokok.
“Saya percaya pelaksanaan Akta A1667 dan perundangan subsidiari P.U.(A) 50/2025 di Wilayah Persekutuan akan memantapkan pengurusan kawasan HSK dan meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan terhadap khazanah hutan negara yang tidak ternilai,” katanya.
Jelas Nik Nazmi lagi, pelaksanaan dasar ini dijangka dapat mengukuhkan kepercayaan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap komitmen Kerajaan Persekutuan dalam menangani isu-isu berkaitan sosial, ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar secara berkesan. – UTUSAN