PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Akta Hasutan 1948 (Akta 15) antara undang-undang sedia ada yang boleh digunapakai untuk pendakwaan terhadap kesalahan berkaitan pembunuhan karakter.
Menurut Perdana Menteri, pembunuhan karakter yang menjadi kebimbangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah merujuk kepada kesalahan merosakkan reputasi seseorang melalui penyebaran maklumat palsu, fitnah atau kritikan tidak berasas.
Katanya, fenomena itu sering berlaku di pelbagai platform termasuk media tradisional, media sosial dan ruang perbincangan awam.
“Kewujudan platform media sosial seperti Facebook, TikTok dan Instagram menjadi medan utama digunakan untuk pembunuhan karakter bagi kesalahan penyebaran maklumat palsu dan pelbagai kes fitnah melibatkan individu tertentu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Parlimen bagi menjawab soalan Fong Kui Lun (PH – Bukit Bintang) yang meminta Perdana Menteri menyatakan pendirian dan tindakan kerajaan terhadap titah Sultan Selangor berhubung pembunuhan karakter yang semakin berleluasa dan langkah pencegahannya.
Menangani isu tersebut terdapat beberapa undang-undang sedia ada yang boleh digunakan untuk pendakwaan terhadap kesalahan berkaitan pembunuhan karakter.
Antaranya Akta Hasutan 1948 [Akta 15] yang memberi kuasa kepada pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap sebarang penerbitan atau ucapan yang boleh menghasut kebencian, ketegangan atau kekacauan dalam masyarakat.
Tambahnya, ia melibatkan kesalahan yang boleh merosakkan keharmonian antara kaum dan institusi.
“Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301]. Ia mengawal penerbitan bahan bercetak dan melibatkan kesalahan berkaitan dengan penyebaran maklumat palsu atau fitnah melalui media cetak.
“Pihak berkuasa boleh menggunakan akta ini untuk mendakwa mereka yang terlibat dalam penyebaran maklumat yang boleh membunuh karakter seseorang,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] juga boleh digunakan bagi mengawal selia penggunaan teknologi komunikasi dan multimedia di Malaysia, termasuk media sosial. – UTUSAN