PETALING JAYA: Pemuda UMNO tidak bersetuju dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melibatkan isu keperluan garis panduan bagi umat Islam menghadiri majlis di rumah ibadat bukan Islam.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh berkata, garis panduan itu harus dilakukan sebagai panduan kepada umat Islam dan bukan hanya berfungsi sebagai peraturan.
“Tidak semua orang tahu dan faham, sama seperti peraturan jalan raya, walaupun memiliki lesen, masih ada yang melanggar undang-undang, malah memandu dalam keadaan mabuk,” katanya menerusi satu kenyataan.
Tambahnya, garis panduan ini khusus kepada umat Islam sahaja dan tidak sepatutnya menjadi isu bagi pihak lain.
“Orang bukan Islam tidak perlu terlibat, ini untuk umat Islam sahaja. Ia bukan bermaksud kita tidak tahu, tetapi sebagai peringatan,” katanya lagi.
Semalam, Perdana Menteri menegaskan bahawa Kabinet telah memutuskan tiada keperluan untuk garis panduan tersebut.
“Macam saya datang ke Batu Caves hari ini, saya bukan hadir ke upacara agama. Gobind (Menteri Digital) pun sering melawat masjid di kawasannya, tetapi dia tidak menyertai upacara agama,” kata Anwar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Na’im Mokhtar sebelum ini mengumumkan rancangan memperkenalkan garis panduan bagi acara melibatkan umat Islam di rumah ibadat bukan Islam.
Antara kandungan garis panduan itu termasuk keperluan mendapatkan kebenaran pihak berkuasa agama serta memastikan majlis tersebut tidak mengandungi unsur yang boleh menyinggung sensitiviti umat Islam.
Pengumuman itu mencetuskan pelbagai reaksi, dengan ada pihak menganggapnya sebagai langkah memecahbelahkan masyarakat, manakala yang lain pula meminta agar isu ini tidak dipolemikkan. – UTUSAN