Akmal jangan jadi perosak dalam kerajaan sendiri - Lim

Akmal jangan jadi perosak dalam kerajaan sendiri – Lim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemuda UMNO tidak seharusnya cuba mengalihkan perhatian masyarakat dengan menggambarkan seolah-olah DAPSY yang menentang usaha dalam membawa suara rakyat.

Setiausaha Kebangsaan DAPSY, Lim Chun Weng berkata, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh dilihat lebih berperanan seperti Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) berbanding memperjuangkan kepentingan Kerajaan Perpaduan sendiri.

“Tindakan Akmal yang berulang kali menyerang pemimpin dan dasar Kerajaan Perpaduan secara berkala memberi gambaran seolah-olah beliau sedang membantu pembangkang untuk merosakkan imej kerajaan,” katanya satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Lim berkata, DAPSY menyokong sepenuhnya sebarang cadangan dan kritikan yang membina selagi ia produktif dan membawa manfaat kepada negara.

“Namun, apa yang kita lihat ialah Muhammad Akmal lebih cenderung membuat kenyataan bersifat provokatif dan tidak berasaskan fakta serta hujah yang bernas,” jelasnya.

Sementara itu, Lim turut merujuk beberapa kenyataan kontroversi yang dibuat oleh Muhammad Akmal sebelum ini, termasuk mencadangkan logo “non-halal” ditampal di dahi Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, menggelar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming sebagai “Menteri Bodoh”, serta mempertikaikan kelayakan Menteri Pelancongan, Tiong King Sing.

“Jelas bahawa Ketua Pemuda UMNO kini lebih sibuk menyerang pemimpin Kerajaan Perpaduan daripada menjelaskan dasar kerajaan kepada rakyat atau mempertahankan kerajaan sendiri daripada serangan pembangkang,” katanya.

Beliau turut mengkritik sikap Muhammad Akmal yang didakwa berat sebelah kerana memilih untuk berdiam diri apabila kenyataan ekstrem datang dari pihak PN.

“Sebelum ini, Ketua Penerangan Sayap Bersekutu Bersatu Johor, Khoo Keng Ek menyifatkan garis panduan bagi umat Islam menghadiri majlis sebagai dasar apartheid merupakan satu kenyataan yang jelas keterlaluan. 

“Namun, Muhammad Akmal memilih untuk berdiam diri. Adakah ini kerana kenyataan tersebut datang dari pihak Perikatan Nasional?” soalnya.

Lim turut mengingatkan Muhammad Akmal agar berhenti menjadi “duri dalam daging” dalam Kerajaan Perpaduan.

“Cukuplah, Akmal Saleh. Jangan jadi perosak dalam kerajaan sendiri. Marilah kita bersama-sama mempertahankan Kerajaan Perpaduan daripada ancaman Perikatan Nasional,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya