SHAH ALAM: Air di Sungai Klang selamat untuk digunakan, bahkan boleh menjadi sumber air alternatif bagi penduduk di daerah Klang dan Selangor pada masa akan datang.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, walaupun tahun lalu Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengkategorikan sungai berkenaan dan Sungai Buloh sebagai sungai sederhana tercemar, air sungai terbabit kini boleh digunakan sekaligus berpotensi menjadi kawasan bekalan air mentah baharu kepada negeri itu.
“Kualiti kebersihan air Sungai Klang jauh lebih baik berbanding sebelum ini dan kita teruskan usaha untuk pastikan ia dikategorikan sebagai sungai bersih oleh JAS nanti,” katanya selepas merasmikan bengkel River Monitoring Program (RMP) di sini, semalam.
Sebelum ini, media melaporkan kerajaan Selangor melihat Sungai Klang berpotensi menjadi sumber bekalan air baharu untuk Selangor selepas kualiti air sungai itu semakin baik.
Jamaliah berkata, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sedang melakukan pelbagai usaha bagi memastikan kesemua sungai dan anak sungai di negeri itu tidak dicemari oleh mana-mana pihak.
Pelaksanaan Zero Discharge Policy (ZDP) dan pemantauan ke atas sungai akan dilakukan lebih kerap selain denda minimum RM200,000 dan maksimum sebanyak RM1 juta dikenakan terhadap mereka yang melakukan pencemaran air di bawah Enakmen LUAS.
“Tahun lalu, sebanyak 80 kes pencemaran sumber air direkodkan yang berpotensi menyebabkan Lori Rawatan Air (LRA) henti tugas.
“Namun, terdapat penurunan bagi kes kecemasan Kod Merah (insiden pencemaran yang menyebabkan henti tugas LRA) sepanjang tahun lalu, dengan hanya empat kes dicatatkan berbanding lima kes pada 2023.
“Manakala kes kecemasan Kod Kuning (insiden pencemaran berjaya dikesan dan ditangani tanpa henti tugas LRA), sebanyak 68 kes Kod Kuning dicatatkan tahun lalu berbanding 49 kes pada tahun 2023,” katanya. – UTUSAN