PARIT: Air keruh dan paras air sedikit meningkat antara kesukaran dihadapi pasukan penyelamat dalam operasi pencarian dua remaja lelaki yang dikhuatiri lemas di Sungai Perak dekat Kampung Tepus, di sini hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, keadaan itu menyebabkan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) sukar membuat selaman bagi mengesan mangsa.
“Semalam hujan, jadi paras air meningkat sedikit dan keruh. Anggota PPDA membuat empat kali selaman di kawasan kedua-dua mangsa terjatuh namun masih gagal menjumpai mereka.
“Operasi pencarian yang diteruskan hari ini dijalankan dalam jarak satu ke tiga kilometer menggunakan kaedah surface searching dengan dibantu dua ekor anjing dari Unit Anjing Pengesan (K9) bersama penduduk kampung dan nelayan tempatan,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Kampung Tepus, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah dan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah.
Menurut Sayani, beliau percaya kedua-dua mangsa kemungkinan tersangkut pada pasir berikutan terdapat kawasan perlombongan pasir berhampiran lokasi kejadian.
Katanya, berdasarkan pemerhatian awal pasukan mencari dan menyelamat, kedua-dua mangsa berkemungkinan tidak jauh dihanyutkan arus sungai.
“Lebih kurang satu kilometer dari tempat terakhir mangsa dipercayai terjatuh, ada mesin penyedut pasir dan kita telah arahkan agar mereka hentikan operasi semalam.
“Pasukan mencari dan menyelamat akan menggunakan kaedah pusaran air di titik lokasi kejadian bagi mendapatkan petunjuk baharu mangsa.
“Jika kemungkinan mangsa berada di bawah, maka dengan kaedah ini mangsa akan timbul.
“Harapan kita begitulah sekiranya mangsa tidak tersangkut sama ada di pasir atau sangkar ikan,” katanya.
Dalam kejadian sekitar pukul 4 petang semalam, Muhammad Nazrin Haidar Mohd. Hisham dan Muhammad Naufal Aiman Dzulkarnain masing-masing berusia 16 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Muhammad Shah hilang dibawa arus ketika cuba mengambil bola yang jatuh ke dalam sungai.
Sebelum kejadian, kedua-dua mangsa bersama tiga lagi rakan bermain bola di kawasan beting pasir sungai berkenaan. – UTUSAN