GEORGE TOWN: Isu berkaitan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) serta keselamatan siber di Asia Tenggara merupakan antara agenda perbincangan sesi Pemukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) di sini, esok.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu penting kerana penentuan keselamatan dan keamanan serta pertahanan negara pada masa depan dijangka banyak dipengaruhi oleh penggunaan teknologi terkini termasuk AI.
“Penggunaan teknologi-teknologi ini sebenarnya banyak membantu usaha-usaha kita untuk memastikan ketahanan dan keselamatan negara. Pada masa yang sama, penyalahgunaannya juga boleh membawa ancaman.
“Jadi, atas dasar itulah Malaysia merasakan bahawa perlunya untuk kita bawa perkara ini untuk dibincang secara bersama supaya kita boleh lihat apa jurang antara setiap negara dan supaya adanya persefahaman (antara negara) berhubung penggunaan-penggunaan AI ini dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi ‘walkabout’ dan lawatan sempena ADMM di Batu Feringghi di sini hari ini.
Terdahulu, sesi ADMM itu dimulakan dengan Mesyuarat Kumpulan Kerja Pegawai Kanan Kementerian Pertahanan ASEAN (ADSOM WG) dengan dihadiri oleh 159 delegasi dari seluruh negara ASEAN tidak termasuk Malaysia.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, selain isu teknologi AI dan keselamatan siber serta penyalahgunaannya, isu lain yang akan dibawa ialah keperluan untuk memperkukuhkan keselamatan maritim dalam kalangan ASEAN.
Beliau berkata, dengan adanya pengukuhan kerjasama maritim itu, negara anggota ASEAN dijangka mendapat lebih kebebasan daripada segi pelayaran khususnya di kawasan perairan Laut China Selatan dan sebagainya.
“Perkara ketiga pula ialah usul untuk mewujudkan pasukan bantuan dan bencana dalam kalangan negara-negara ASEAN disebabkan oleh ketidaktentuan cuaca ketika ini.
“Pasukan ini (bantuan dan bencana) penting kerana kalau kita bercakap mengenai soal ‘peacekeeping force’ (pasukan pengaman), itu memang kita ada. Tetapi, itu lebih kepada kerjasama antara beberapa negara ASEAN sahaja, dan bukannya menyuruh,” ujar beliau.
Mohamed Khaled berkata, usul lain yang akan dibangkitkan termasuk usaha membangunkan industri pertahanan tempatan melangkaui kerjasama bilateral antara negara di rantau ini khususnya dalam beberapa perkara berkaitan serta kewaspadaan terhadap isu-isu lain seperti ancaman biosekuriti daripada pengganas dan sebagainya.
“Ini antara pandangan atau usul yang akan dibawa oleh Malaysia untuk dibincang esok dan jika diterima, ia akan dibawa pula ke ADMM yang sebenar yang dijangka November ini,” jelasnya lagi.
Pada tahun ini, Pulau Pinang menjadi tuan rumah kepada 13 mesyuarat utama sepanjang Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 yang melibatkan perbincangan pada peringkat kerja, pegawai kanan dan menteri yang dijalankan oleh tujuh kementerian. – UTUSAN