KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memainkan peranan penting dalam mengkoordinasi perintah larangan mengulas atau gag order berkaitan Titah Adendum.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau menghargai tindakan Azalina dalam membantu mengkoordinasi perintah larangan tersebut berkait isu titah tambahan berkaitan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Ini masanya saya ulas, itu usaha yang dicadangkan oleh Jabatan Peguam Negara dan saya tentunya berterima kasih kepada menteri undang-undang Azalina yang mengkoordinasikannya dengan Pejabat Peguam Negara dalam hal ini,” katanya ringkas kepada pemberita, di sini.
Ahmad Zahid berkata demikian bagi mengulas pendirian UMNO berhubung keputusan kerajaan memfailkan permohonan untuk mendapatkan perintah larangan tersebut menghentikan mana-mana pihak membincangkan isu berkaitan titah adendum.
Terdahulu, media melaporkan, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memfailkan secara rasmi permohonan larangan bersuara bagi menghalang mana-mana pihak termasuk media untuk memperkatakan mengenai Titah Adendum yang menyentuh mengenai penahanan Najib di rumahnya sehingga habis hukuman penjara.
Timbalan Ketua Bahagian Sivil AGC, Shamsul Bolhassan ketuka dihubungi media memaklumkan permojonan itu telah difailkan pada pukul 7.45 malam melalui sistem e-Filing.
Pada 13 Januari lalu, Shamsul yang mewakili kerajaan dan beberapa responden lain dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memaklumkan pihaknya akan berbuat demikian dalam masa terdekat.
Selain AGC, turut dinamakan sebagai responden ialah Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Lembaga Pengampunan Bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan Dan Putrajaya dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi).
Pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan memberikan kebenaran kepada Najib untuk memulakan semakan kehakiman berhubung kewujudan Titah Adendum tersebut.
Dalam keputusan 2-1, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib untuk memulakan semakan kehakiman itu selepas mendapati tiada responden yang dinamakan dalam permohonan itu memfailkan sebarang afadavit menafikan kewujudan perintah tambahan itu. – UTUSAN