KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen blok kerajaan tampil mempertahankan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Sidang Dewan Rakyat, hari ini selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan Perdana Menteri derhaka pada Yang di-Pertuan Agong.
Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) menyifatkan dakwaan Hamzah (PN-Larut) bahawa Anwar menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong melakukan penderhakaan berkaitan Titah Adendum adalah tidak betul.
“Saya tidak bersetuju dengan tuduhan itu, atas fakta begini, pertama kes rayuan judicial review berkaitan Titah Adendum bermula di Mahkamah Tinggi kemudian bersambung ke Mahkamah Rayuan.
“Tuduhan (Anwar menderhaka) itu terlalu keras, tidak betul,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Hamzah mendakwa Anwar menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong selepas kerajaannya didakwa menyembunyikan Titah Adendum berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Tampil membela Anwar, Dr. Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) mempertikai tuduhan Hamzah kerana tidak mempunyai dasar untuk mendakwa seperti demikian.
“Atas dasar apa yang mengatakan bahawa Tambun (Anwar) sebagai penderhaka? Atas dasar apa?” soalnya.
Dr. Mohammed Taufiq kemudiannya membangkitkan peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat 36 (6) iaitu mana-mana ahli tidak boleh mendatangkan sangkaan buruk kepada ahli yang lain.
“Tidak ada mana-mana kenyataan dari Yang di-Pertuan Agong. Kita lihat contoh penderhaka iaitu pada 2021, Agong amat dukacita (kerana) Takiyuddin (Datuk Seri Takiyuddin Hassan) kelirukan Dewan Rakyat. Itulah antara contoh penderhaka sebenar, dikeluarkan kenyataan oleh Yang di-Pertuan Agong sediri,” katanya.
Pertikaman lidah antara pemimpin kerajaan dan pembangkang itu kemudiannya dihentikan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau.
Alice turut meminta Hamzah untuk memberikan penjelasan terhadap dakwaan yang dilakukan beliau. – UTUSAN