KUALA LUMPUR: Kelab Penyokong Kerajaan Madani (BBC) menyeru seluruh ahli Parlimen untuk menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim iaitu mengelak dari mempolitikkan setiap isu demi kepentingan parti.
BBC menerusi kenyataan berkata, semua ahli Parlimen tanpa mengira latar politik perlu bersama-sama menjunjung integriti Parlimen dan mengangkat perbahasan yang berasaskan fakta serta mengutamakan kepentingan negara.
“Marilah kita bekerjasama untuk memperkukuh institusi demokrasi dan membina Malaysia yang lebih progresif, inklusif dan bersatu padu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Sultan Ibrahim mengingatkan ahli-ahli Parlimen untuk tidak menggunakan persidangan Dewan Rakyat sebagai saluran untuk memaki hamun atau menabur fitnah kepada seteru politik mereka.
Titah baginda, Parlimen bukanlah tempat untuk bertegang urat tetapi adalah tempat untuk membahaskan agenda kepentingan rakyat dan kemakmuran negara.
Tegas baginda lagi, ahli-ahli Parlimen hendaklah menjadi benteng perpaduan negara dan bukannya agen perpecahan rakyat.
Sementara itu, BBC berkata, pihaknya terus proaktif dalam memperkukuh kualiti perbincangan serta keterlibatan ahli Parlimen.
Katanya, inisiatif seperti sarapan bersama menteri dan taklimat Parlimen yang lebih tersusun membolehkan setiap ahli memahami dasar dengan lebih mendalam serta memastikan perbahasan yang lebih bermakna dan berorientasikan penyelesaian.
“Platform ini juga membantu ahli Parlimen menyampaikan maklumat dasar kepada rakyat secara lebih jelas dan berkesan, sekali gus mengelakkan kekeliruan dan mengurangkan unsur sensasi politik yang tidak wajar,” katanya. – UTUSAN