KUALA LUMPUR: Perdana Menteri meminta ahli-ahli Kabinet keluar dari pemikiran kepompong lama membabitkan isu digital.
Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, sikap itu penting bagi menjadikan Malaysia sebagai negara maju dan tidak ketinggalan daripada segenap sudut.
Beliau juga malahan menegaskan, terdapat keperluan untuk memanfaatkan golongan akademik, pakar dan gabungan dewan perniagaan bagi mendapatkan pandangan.
“Sudah tentu kita tidak mempunyai semua jawapan, jadi kita perlu memanfaatkan golongan akademik, pakar serta keperluan gabungan dewan perniagaan Melayu, Cina dan India serta Sabah dan Sarawak dalam mencari jawapan dan pandangan.
“Kita juga perlu berusaha mencari jalan dalam menjana pertumbuhan ekonomi. Jadi, saya berharap agar jawatankuasa induk dapat diwujudkan dalam masa singkat bagi mencapai usaha berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di sini.
Anwar berkata, peranan jawatankuasa induk adalah penting bagi memberikan pandangan dan pencetus menggerakkan ekonomi serta menarik lebih banyak pelaburan di negara ini. – UTUSAN