GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan negeri supaya mengambil tindakan segera terhadap aduan berkaitan pokok bakau mati di Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau di sini, baru-baru ini.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya kesal kerana aduan itu seolah-olah tidak diendahkan.
Katanya, keengganan kerajaan negeri, jabatan dan agensi kerajaan berkaitan memberi perhatian terhadap isu itu boleh menjurus kepada kemusnahan alam semula jadi yang lebih teruk pada masa hadapan.
“Kami (CAP) kesal kerana walaupun masalah itu sudah lama berlaku dan aduan mengenainya juga telah dibuat, namun hingga sekarang, tidak ada sebarang tindakan berkesan diambil untuk menangani masalah ini.
“Kami difahamkan oleh Jabatan Perhutanan Pulau Pinang bahawa pokok-pokok bakau jenis api-api yang mati itu berkemungkinan disebabkan oleh sisa bahan buangan daripada kolam ternakan udang berhampiran.
“Jadi, memandangkan hutan paya bakau merupakan ekosistem penting bagi pembiakan pelbagai spesies hidupan laut, CAP bimbang keadaan ini akan menjejaskan mata pencarian kira-kira 500 nelayan pantai di situ jika tindakan tegas tidak diambil,” katanya.
Kata Mohideen, hasil tinjauan mendapati, terdapat nelayan mendakwa hasil tangkapan mereka seperti ikan, ketam dan udang telah berkurangan sejak beberapa tahun lalu dipercayai akibat pencemaran sisa buangan dari kolam ternakan udang dan kemusnahan hutan paya bakau.
“Mereka (nelayan) juga menghadapi masalah ketika mahu melabuhkan pukat di laut kerana gangguan sisa pokok bakau yang ditebang dibawa arus.
“Keadaan ini seterusnya mencemarkan kawasan perairan tersebut manakala sistem saliran sekitar kolam ternakan udang juga telah tertimbus dan tersumbat oleh sisa buangan terbabit,” katanya.-UTUSAN