KAJANG: Seramai 96 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam satu operasi besar-besaran dilancarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di kawasan penempatan warga asing sekitar Kajang, awal pagi tadi.
Operasi penguatkuasaan yang bermula pada pukul 1.40 pagi itu melibatkan seramai 116 pegawai daripada pelbagai bahagian di JIM, termasuk Bahagian Penguatkuasaan, Bahagian Pengurusan Depot dan Tahanan, Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA).
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi berkenaan dijalankan susulan aduan awam mengenai kehadiran PATI yang menetap di kawasan terbabit tanpa dokumen sah.
“Hasil pemeriksaan terhadap 135 warga asing, seramai 96 PATI yang berumur antara 20 hingga 69 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
“Mereka terdiri daripada warganegara Bangladesh, Myanmar dan Indonesia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, lokasi serbuan melibatkan sebuah lot tanah persendirian yang menempatkan rumah-rumah sewa yang tidak tersusun.
“Ketika serbuan, terdapat PATI yang cuba melarikan diri dan menyorok bagi mengelak ditahan, namun tindakan mereka berjaya digagalkan oleh pegawai operasi.
“Kesemua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966,” katanya.
Zakaria turut menegaskan bahawa JIM akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melindungi atau menggaji PATI.
“Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau majikan yang bersubahat melindungi PATI.
“Tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang, termasuk Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” ujarnya. – UTUSAN