PETALING JAYA: Sebanyak 881 perkahwinan bawah umur direkodkan sejak 2022 hingga tahun lalu.
Menerusi sistem e-Syariah, daripada jumlah tersebut membabitkan sebanyak 518 remaja perempuan bawah umur dan diikuti oleh 363 lelaki.
Berdasarkan sistem tersebut mendapati Kelantan mencatat jumlah perkahwinan bawah umur paling tinggi dalam tempoh itu iaitu sebanyak 193 perkahwinan dan diikuti Selangor (133), Terengganu (115), Kedah (126), Johor (73) serta Sabah (63).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Akta 303) menetapkan had umur bagi suatu perkahwinan dinikahkan bagi melindungi kanak-kanak dan remaja.
Kata beliau, Seksyen 8 Akta 303 memperuntukkan umur minimum untuk perkahwinan bagi lelaki adalah tidak kurang dari 18 tahun dan tidak kurang 16 tahun untuk wanita.
Jelasnya, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang khusus bagi pernikahan bawah umur bagi memastikan prosedur tersebut ditepati.
“SOP ini sangat menekankan dan mengutamakan aspek kemaslahatan kanak-kanak yang ingin berkahwin, Mahkamah Syariah perlu membuat penilaian teliti dan menyeluruh berdasarkan SOP tersebut sebelum suatu kebenaran perkahwinan di bawah umur minimum diberikan,” katanya dalam jawatan bertulis bagi menjawab soalan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) hari ini.
Mohd Na’im berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui Persidangan Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk dan Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Negeri serta Mahkamah Syariah Negeri Kali ke-14 pada 29 Oktober lalu sudah membentangkan mengenai model pengurusan perkahwinan bawah umur.
Jelasnya, ia sebagaimana yang dilaksanakan oleh Selangor dan Wilayah Persekutuan bagi menangani isu perkahwinan bawah umur untuk dilaksanakan di peringkat negeri masing-masing.
“Di samping itu, Jakim juga bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam menjayakan Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur,” katanya. – UTUSAN