KUALA LUMPUR: Dakwaan rakyat bakal dibebani dengan kenaikan tarif elektrik adalah tidak benar memandangkan ia hanya akan melibatkan industri dan golongan ‘mahakaya’ sahaja.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenaikan tarif elektrik yang munasabah hanya dikenakan pada industri dan golongan kaya sahaja.
Kata beliau, kenaikan tersebut tidak akan melibatkan kumpulan rakyat terbanyak.
“Kenaikan tarif (elektrik) kepada industri (dan) golongan mahakaya, kalau tidak cukai kepada orang kaya, kita nak tambah peruntukan untuk sekolah (serta) hospital ini dari mana wangnya? Jadi kita kena terima kenyataan.
“Saya sudah sebut depan peniaga-peniaga semalam (bahawa) kita tidak akan bertolak ansur, kita terpaksa naikkan tetapi tidak melibatkan 85 peratus rakyat,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang mempertikai kenaikan tarif elektrik.
Mengulas lanjut, Anwar meminta pemimpin pembangkang untuk mendengar penjelasannya dengan betul supaya mendapat penjelasan yang tepat.
“Dengar dengan betul, (jangan) dengar dengan sentimen marah. Ini penyakit marah, bukan penyakit fakta ekonomi,” tegurnya.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, fakta dan data menunjukkan bahawa kerajaan di bawah pimpinannya sudah mengatasi Perikatan Nasional (PN) yang mentadbir kerajaan terdahulu.
“Ekonomi ini bukan ‘wayang’, ekonomi ni berdasarkan fakta dan data. Faktanya apa? Pelaburan kita meningkat jauh dari semasa PN memerintah, kadar pertumbuhan kita (juga) meyakinkan (dan) ringgit masih mengukuh walaupun keadaan geopolitik tidak menentu.
“Autanya lain, kita kena bedakan,” katanya.-UTUSAN