KUALA LUMPUR: Sebanyak 77 peratus kontraktor yang mengendalikan projek kerajaan dikategorikan sebagai bermasalah, menyebabkan banyak projek gagal disiapkan mengikut jadual dan akhirnya menjadi projek sakit.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kegagalan kontraktor ini tiada kaitan dengan peningkatan harga barang pembinaan, malah ia berpunca masalah dalaman kontaktor tersebut.
Katanya, terdapat 29 projek atau 3.62 peratus daripada 801 projek dikategorikan projek sakit yang diuruskan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) pada ketika ini.
Beliau berkata, daripada 29 projek tersebut terdapat sehingga tiga projek diberikan notis penamatan yang menyebabkan kontraktor itu akan disenarai hitam.
“Kontraktor berdepan empat isu utama iaitu kelemahan pengurusan dalaman, penjadualan lemah, masalah aliran kewangan dan kelewatan pembekal Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang menyebabkan projek tergendala.
“Namun, kelemahan pengurusan dalaman adalah punca utama,” katanya dalam sidang media hari ini.
Sebelum itu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Pemantauan Projek Sakit dan Lewat Jadual Kementerian Pelanggan Bilangan 1 Tahun 2025 selaras dengan Hala Tuju Kementerian Kerja Raya 2025 Mensifarkan Projek Sakit dan memastikan kelancaran pengurusan projek-projek infrastruktur rakyat tanpa EOT (Extension of Time).
Mengulas lanjut mengenai kontraktor yang bermasalah, Ahmad berkata, kontraktor tersebut akan dikenakan beberapa tindakan sebelum memberi notis penamatan.
“Kontraktor bermasalah akan diberikan surat amaran untuk tiga kali atau empat kali. Selepas itu, dia akan dibawa ke satu jawatankuasa khas untuk Notis Untuk Tujuan Penamatan (NUTP).
“Terdapat juga kontraktor yang dikenakan denda harian, di mana jumlahnya bergantung kepada saiz projek. Jika projek itu besar, maka denda yang dikenakan juga tinggi dan perlu dibayar kepada kerajaan setiap hari sehingga kelewatan diselesaikan. Paling serius pula adalah diberi notis penamatan terus,” katanya.
Dalam pada itu, Kementerian Kerja melalui agensi teknikalnya iaitu JKR akan memantau sebanyak 1,975 projek fizikal pembinaan dengan jumlah keseluruhan kos projek bernilai RM75.98 bilion untuk tahun 2025
Daripada 1,975 projek fizikal pembinaan yang sedang aktif itu, sebanyak 1,146 projek di peringkat Pra Pembinaan manakala 829 projek di peringkat pembinaan.
Selain itu, terdapat juga 412 projek dengan nilai kerja berjumlah RM1.528 bilion dalam pelbagai kategori termasuk Penyelenggaraan, Pemulihan, Ubahsuai dan Naik taraf (PPUN) yang turut dilaksanakan oleh JKR. – UTUSAN