KUALA LUMPUR: Sebanyak 61 kes tangkapan dengan 52 kes didakwa berkaitan penghinaan agama Islam direkodkan sejak 2020 hingga 2024.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, jumlah kes dilaporkan itu adalah tindakan diambil ke atas orang Islam yang menghina agama Islam.
“Menghina agama Islam merupakan kesalahan jenayah Syariah di semua negeri di Malaysia.
“Peruntukan-peruntukan yang membabitkan kesalahan ini diletakkan dalam bahagian yang berhubungan dengan kesucian agama Islam dan institusinya.
“Undang-undang Syariah hanya boleh menghukum, jika sabit kesalahan mana-mana individu muslim yang menghina agama Islam. Namun, tidak boleh menggunakan peruntukan yang sama terhadap orang bukan Islam,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah kes penghinaan agama Islam yang berlaku pada 2020 sehingga 2024 serta tindakan diambil terhadap golongan yang terlibat dengan menghina agama Islam melalui media.
Sementara itu bagi orang bukan Islam yang didapati menghina agama Islam, Na’im berkata kes disiasat mengikut Akta 298A Kanun Keseksaan (atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan).
Malah turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan sebagainya. – UTUSAN