600 pemilik tanah dakwa hilang hak

600 pemilik tanah dakwa hilang hak

MOHD. Azman Yaakub menunjukkan peta lokasi tanah miliknya di Ulu Sat, Machang, Kelantan. - UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG: Lebih 600 pemilik kawasan pertanian di Mukim Hulu Sat di sini menuntut pampasan selepas mendakwa hilang hak ke atas tanah mereka selepas digunakan untuk projek aliran eletrik bervoltan tinggi, sejak 46 tahun lalu.

Dakwa mereka, tanah yang terletak kira-kira 1.5 kilometer (km) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu gagal diba­ngunkan disebabkan oleh pem­binaan tersebut.

Pemilik tanah, Mohd. Azman Yaacob, 57, mendakwa, syarikat terlibat hanya membayar pampasan dan membuat taksiran ke atas 70 lot tanah di kawasan terbabit.

“Jumlah semua lot tanah di kawasan ini ialah 609. Kawasan ini berpotensi diba­ngunkan sebagai bandar baharu, namun terhalang di­sebabkan tiang dan kabel elektrik bervoltan tinggi.

“Pada 2017, saya telah membuat permohonan bagi memajukan tanah saya seluas 0.3 hektar untuk projek perumahan. Bagaimanapun, ia gagal disebabkan terdapat sebatang tiang pencawang dan saya tidak pernah menerima pampasan daripada pihak terlibat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mohd. Azman berkata, nasib sama turut dialami pemilik lain di kawasan itu sehingga menyebabkan tanah mereka terbiar.

Katanya, sebelum ini dia pernah mengemukakan rayuan untuk memindahkan pencawang tersebut, namun me­nemui jalan buntu.

“Saya telah membawa kes ini sehingga ke Mahkamah Rayuan, namun ia ditolak sekali gus gagal untuk membangunkan lot tanah ber­kenaan.

“Selepas ini saya bercadang untuk membuat permohonan kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan bagi mendapat pembelaan seadil­nya atas kerugian termasuklah pemilik lain,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi pemilik, Janaiyah Md. Zain, 57, berkata, tanah miliknya turut dijadikan sebagai tapak laluan kabel elektrik tanpa bayaran.

Katanya, situasi itu menyebabkan tanah itu turun harga dan gagal dibangunkan.

“Saya juga tidak mendapat sebarang bayaran pampasan yang sepatutnya. Jadi saya berharap kerajaan dapat campur tangan dan mengkaji semula perkara tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya