60 warga Malaysia diselamat mangsa sindiket tipu kerja di Kemboja

60 warga Malaysia diselamat mangsa sindiket tipu kerja di Kemboja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 60 rakyat Malaysia yang dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan telah diselamatkan oleh pihak berkuasa Kemboja pada 22 Februari lalu.

Perkara itu disahkan Kementerian Luar Negeri, melalui Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh dengan operasi berkenaan menyasarkan pusat penipuan dalam talian di Poipet, berhampiran sempadan Kemboja-Thailand.

Menurut Kementerian Luar, selepas diselamatkan, mereka dibawa ke pusat tahanan imigresen di Siem Reap untuk proses selanjutnya.

“Lawatan konsular oleh Kedutaan Besar Malaysia telah mengesahkan bahawa kesemua individu berada dalam keadaan baik.

“Setakat ini, seramai 25 mangsa telah selamat pulang ke Malaysia, manakala 11 orang lagi dijadualkan untuk dihantar pulang pada hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wisma Putra berkata, baki 24 individu akan dihantar pulang secara berperingkat dalam masa terdekat.

Katanya, kumpulan 60 rakyat Malaysia ini adalah berasingan daripada 15 rakyat Malaysia yang turut menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar, yang telah dihantar pulang dari Thailand pada 24 Februari lalu.

Dalam kes ini, Kementerian Luar Negeri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Kemboja atas bantuan dan kerjasama mereka dalam menyelamatkan rakyat Malaysia serta memudah cara proses penghantaran pulang mereka.

“Kerajaan Malaysia kekal prihatin terhadap ancaman berterusan yang dibawa oleh sindiket penipuan pekerjaan rentas sempadan,” katanya.

Jelas Wisma Putra, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia komited untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam memerangi pemerdagangan manusia, khususnya dalam menangani penyalahgunaan teknologi oleh sindiket jenayah.

Katanya, pendekatan ini selaras dengan Deklarasi Pemimpin ASEAN mengenai Pembanterasan Pemerdagangan Manusia Berpunca daripada Penyalahgunaan Teknologi yang diterima pakai semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 pada tahun 2023.

Pada masa sama, Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan Negara-Negara Anggota ASEAN dan rakan luar bagi meningkatkan kapasiti teknikal, memudah cara perkongsian pengalaman, menggalakkan pertukaran maklumat serta melaksanakan amalan terbaik dalam usaha membanteras pemerdagangan manusia secara lebih berkesan.

“Selain kerjasama serantau, langkah berjaga-jaga individu juga penting dalam menangani isu ini.

“Rakyat Malaysia yang ingin bekerja di luar negara dinasihatkan agar berwaspada dan memastikan kesahihan tawaran pekerjaan melalui saluran rasmi bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa sindiket jenayah.

“Rakyat Malaysia yang berada dalam kesulitan di luar negara digalakkan untuk mendapatkan bantuan daripada Perwakilan Diplomatik Malaysia yang terdekat,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya