JOHOR BAHRU: Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) mengenal pasti 510 pekerja dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang akan menerima lonjakan gaji sehingga RM3,500 sebulan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, nilai gaji tersebut akan diterima mereka selepas mengikuti program peningkatan kemahiran Pro-Mahir (upskilling) anjuran JTDC.
Menurut, kesemua 510 pekerja terlibat ketika ini menerima purata gaji RM2,000 sebulan dan berkelulusan diploma.
“Mereka merupakan kohort pertama dalam usaha kerajaan negeri melahirkan sebanyak 10,000 pekerjaan berpendapatan tinggi sepanjang 2025.
“JTDC juga akan mula melaksanakan Program Juruteknik Pusat Data secara berstruktur dan sistematik bermula 1 Mac di bawah Kolej Kemahiran Johor dengan kerjasama Lead Future Holding bagi mengisi 200 kekosongan jawatan yang telah dikenal pasti berserta jaminan pekerjaan dengan gaji bermula RM3,500 hingga RM4,000 bagi kelulusan minimum diploma,” katanya selepas menghadiri Hari Libat Urus Industri JTDC di Menara Komtar di sini.
Tambah Aznan, libat urus itu turut menyaksikan persetujuan menubuhkan Lembaga Penasihat Industri yang dianggotai syarikat antarabangsa dan peneraju industri di setiap institusi pendidikan dan kemahiran di Johor.
“Inisiatif pada skala besar seperti ini adalah yang pertama seumpamanya dalam negara, dalam usaha melaksanakan anjakan kurikulum besar-besaran supaya selaras dengan keperluan sebenar pasaran kerja.
“Selain itu, JTDC bersama Johor Skills, Kolej Kemahiran Johor dan beberapa institut lain sedang membangunkan Akademi Pusat Data yang akan disokong Microsoft dan EPI Singapura,” jelasnya. – UTUSAN