KUALA LANGAT: Polis merampas pelbagai barangan sisa elektronik atau e-waste termasuk kira-kira 50,000 kilogram (kg) bungkusan mengandungi peluru dan kelongsong di sebuah kilang di Teluk Panglima Garang di sini, semalam.
Operasi Hazard kira-kira pukul 9 pagi itu dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA) dibantu Pasukan Gerakan Udara (PGU) bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi berkata, operasi dijalankan hasil risikan terhadap kilang terlibat yang memproses sisa e-waste secara haram melibatkan proses peleraian dan pengasingan bahan berbahaya dengan logam berharga tanpa lesen sah.
Katanya, siasatan awal mendapati kilang itu memproses sisa yang dibawa masuk dari luar negara.
“Selain barang e-waste, kita turut menemukan kira-kira 50 beg peluru termasuk anak peluru serta kelongsong yang setiap satu dianggarkan seberat satu tan. Polis percaya peluru-peluru ini bukan dari Malaysia dan kita sedang kenal pasti dari mana sumbernya,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.
Menurut Mohamad Suzrin, peluru serta kelongsong itu akan diproses dengan kaedah dibakar sebelum diasingkan menjadi jongkong timah serta tembaga.
“Kita turut menjalankan pemeriksaan terhadap seramai 70 pekerja, selain menahan lima pekerja yang tidak mempunyai dokumen sah. Ini merupakan keperluan dalam usaha membasmi e-waste haram daripada merosakkan alam sekitar negara,” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Bahan Berbahaya JAS, Azlan Ahmad berkata, kilang terbabit tidak mempunyai lesen untuk melerai dan melebur.
“Kita kesan ada aktiviti meleburkan peluru, selain premis membuat pembakaran terbuka serta kemungkinan pelepasan gas berbahaya. Peluru disenaraikan dalam senarai bahan letupan dan ini pertama kali dikesan. Kita memandang serius perkara ini,” katanya. – UTUSAN