KANGAR: Sebanyak 42 mesin melombong bitcoin dirampas dalam satu operasi yang dijalankan di sebuah premis sekitar pusat perniagaan Marina, Kuala Perlis di sini, pada 18 Januari lalu.
Menerusi serbuan sekitar pukul 5 petang itu, premis berkenaan dipercayai telah melakukan penyambungan tidak sah sehingga menyebabkan kerugian berjumlah RM1.3 juta kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Ketua Polis negeri, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, selain itu, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun yang dipercayai terlibat dalam aktiviti tersebut.
“Hasil serbuan ini, kita juga merampas beberapa barangan seperti 42 set perlombongan bitcoin dan aksesori dengan nilai keseluruhan berjumlah RM156,000,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Simpang Empat, di sini, hari ini.
Muhammad berkata, modus operandi digunakan suspek adalah dengan menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin di kawasan atau premis berdekatan dengan punca elektrik.
Katanya, langkah itu adalah bagi memudahkan suspek terlibat membuat penyambungan elektrik secara haram untuk menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin tersebut.
“Aktiviti perlombongan bitcoin ini berjalan 24 jam dan memerlukan penggunaan elektrik yang banyak dan disebabkan itu pihak terlibat melakukan penyambungan haram sehingga menyebabkan kerugian kepada TNB berjumlah RM1.3 juta.
“Suspek yang ditahan juga dipercayai berperanan sebagai operator premis perlombongan itu yang didapati telah beroperasi sejak tahun lalu,” katanya.
Muhammad berkata, suspek turut ditahan reman selama lima hari bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan berhubung kes itu.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 (3) Akta Bekalan Elektrik 1990.
“Polis juga berharap masyarakat dapat bersama-sama menyalurkan maklumat kepada polis bagi memerangi aktiviti seperti ini,” katanya. – UTUSAN