JERANTUT: Biarpun usianya sudah mencecah 80 tahun, seorang warga emas di Kuala Tahan di sini, tetap setia membawa perahu penambang dan bot fiber atau gentian kaca walaupun sudah lebih 40 tahun mengemudinya.
Husin Sulaiman berkata, selagi kudratnya masih gagah, dia akan terus membawa pengangkutan air itu kerana ia sumber pendapatan utama keluarganya.
“Saya mula bawa perahu ini pada 1984 dan kekal sehingga kini. Ia sumber pendapatan utama keluarga termasuk membesarkan 12 anak.
“Boleh dikatakan saya antara pembawa bot, orang lama yang masih kekal di sini. Dulu hendak buat bot kosnya hanya RM300 sahaja, tetapi kini kosnya berganda-ganda lebih RM10,000.
“Saya tidak ada masalah, hendak pergi ke kawasan mana sekalipun boleh bawa, selagi masih gagah dan diberikan kesihatan yang baik, saya akan terus bawa perahu ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tinjauan mendapati, warga emas itu masih bertenaga menarik bot gentian kaca dengan berat dianggarkan 60 kilogram kerana mempunyai bumbung.
Tambah Husin, sebelum membawa bot pemandu pelancong, dia bekerja sebagai penoreh getah dan selepas itu mencari ikan.
“Semasa mencari ikan, memang saya sudah ada bot dan jika ada permintaan bawa penumpang, saya akan bawa. Selepas itu, baru fokus sepenuhnya bawa penumpang.
“Dulu paling jauh bawa bot sampai ke Kuala Lipis, ambil dan hantar pulang penumpang. Jika ke Ulu Tembeling itu perkara biasa,” katanya.
Warga emas itu berkata, pengangkutan air itu khususnya di Kuala Tahan masih penting dan relevan kepada masyarakat khususnya buat penduduk yang tinggal di Ulu Tembeling.
“Saya yakin perkhidmatan ini akan terus kekal relevan di sini kerana permintaannya sentiasa ada,” jelasnya. – UTUSAN