4 premis diserbu, 262 tayar celup guna label palsu dirampas

4 premis diserbu, 262 tayar celup guna label palsu dirampas

AZMAN Adam, (kiri) bersama Aedy Fadly Ramli (dua kiri) meneliti tayar-tayar celup yang diproses di sebuah premis di Jalan Meranti Jaya, Taman Industri Meranti Permai, Puchong, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUCHONG: Tindakan licik pengilang tayar celup menggunakan penandaan piawaian secara tidak sah terbongkar apabila mereka diserbu pihak berkuasa dalam operasi bersepadu di Taman Industri Meranti Permai, di sini hari ini.

Dalam operasi oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang dijalankan bermula pukul 8.30 pagi itu mendapati sebanyak 262 unit tayar celup pneumatik menggunakan label SIRIM Berhad (SIRIM) secara tidak sah dan dirampas bersama dokumen berkaitan perniagaan dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM80,410.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Azman Adam berkata, serbuan tersebut adalah hasil risikan selama sebulan terhadap premis terbabit yang dipercayai mengilang dan membekalkan tayar celup tidak mengikut piawaian.

“Pemeriksaan mendapati pengilang berkenaan tidak mendapat pensijilan daripada SIRIM QAS International Sdn. Bhd. tetapi tetap menggunakan standard MS 224 bagi melabel tayar celup mereka. 

“Kegiatan ini jelas melanggar Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Tayar Pneumatik) 2012 dan boleh mengancam keselamatan pengguna di jalan raya,” katanya dalam sidang akhbar selepas operasi di sini hari ini. 

Operasi berkenaan turut melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen, Jabatan Standard Malaysia dan SIRIM.

Dalam serbuan itu, pihak berkuasa turut mengesan beberapa pengilang yang masih menggunakan label yang telah tamat tempoh bagi mengaburi pihak berkuasa dan pengguna.

“Kami tidak akan berkompromi dengan sebarang pelanggaran undang-undang, lebih-lebih lagi yang melibatkan keselamatan orang ramai. 

“Kertas siasatan telah dibuka dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 29(2) Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.

Jelas Azman, jika sabit kesalahan, syarikat yang terlibat boleh dikenakan denda maksimum RM200,000, manakala individu pula boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya