PEKAN: Seramai 399 graduan Universiti Automotif Malaysia DRB-Hicom (DHU) menerima ijazah dan sijil masing-masing dalam Istiadat Konvokesyen kesembilan universiti berkenaan di Dewan Canselor Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.
Majlis yang disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola Universiti, Tan Sri Syed Faisal Albar itu menyaksikan penganugerahan ijazah dan sijil kepada graduan pelbagai peringkat termasuk dua graduan doktor falsafah (PhD), seorang ijazah sarjana dan 72 ijazah sarjana muda.
Selain itu, seramai 113 graduan menerima diploma, 25 graduan program asasi, 123 graduan program profesional dan 70 graduan Pendidikan dan Latihan Vokasional (TVET).
Anugerah Canselor diberikan kepada graduan Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dalam Pengurusan Rantaian Bekalan, Aimi Nabihah Noor Ariff dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.94.
Anugerah Pengerusi disampaikan kepada graduan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Automotif), Ahmad Syeh Nudin Supatra (CGPA 3.92), manakala Anugerah Naib Canselor diterima graduan Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal, Muhammad Amirul Makhtar (CGPA 3.91) dan graduan Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dalam Pengurusan, Sarah Dina Aziz (CGPA 3.85) serta seramai 12 graduan turut menerima Anugerah Kecemerlangan Universiti.
Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif DHU, Prof. Datuk Sr. Dr. Omar Osman turut mengumumkan pencapaian universiti itu dalam bidang penyelidikan dengan 16 kemenangan dalam pelbagai pertandingan merangkumi enam pingat emas, empat perak, lima gangsa serta satu Anugerah Kelestarian Alam.
“Kejayaan ini membuktikan dedikasi DHU dalam menyumbang kepada kemajuan ilmu dan pembangunan industri. Malah, kadar kebolehpasaran graduan DHU kini mencecah 95 peratus dengan 3,353 daripada 3,514 graduan telah berjaya mendapat pekerjaan,” katanya.
Beliau turut berkongsi inisiatif universiti dalam memperkenalkan pembelajaran fleksibel melalui program Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh (ODL) serta kursus tambahan.
“DHU juga menawarkan program micro-credential dan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) bagi membantu golongan bekerja meningkatkan kemahiran,” katanya. – UTUSAN