Seramai 39 orang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Melintang, Jeli Kelantan baru-baru ini mengadakan lawatan ke Terengganu yang sememangnya terkenal dengan tempat-tempat yang menarik.
Program tersebut yang turut disertai enam orang guru menggabungkan unsur pendidikan dan rekreasi, bertujuan memperkaya pengetahuan murid-murid melalui pengalaman ketika mengunjungi Terengganu.
Lawatan sambil belajar tersebut adalah aktiviti luar bilik darjah yang sangat penting bagi memberi pengalaman kepada mereka meski pun dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.
Program tersebut dianjurkan di bawah bimbingan Penolong Kanan Kokurikulum (PKKO) Mazraihan Hilmi bersama guru dan murid-murid Tahun Enam. Program lawatan tersebut berjalan sebagai mana yang dirancang dan mendapat sokongan penuh besar sekolah, Laila Ismail.
“Program ini akan mendedahkan murid tentang kepentingan keluar daripada zon selesa untuk belajar perkara baharu daripada dunia luar serta membantu murid-murid memahami pelbagai perkara dalam hidup yang tidak dapat dipelajari melalui bacaan buku semata-mata,” ujarnya.
Murid-murid yang menyertai lawatan sambil belajar dapat mendedahkan kepada budaya, adat, dan cara hidup yang berbeza. Murid-murid pasti dapat mengembangkan diri seperti mempelajari kemahiran
baharu, mengatasi cabaran dan menjadi lebih matang.
Melalui pengalaman ketika lawatan sambil belajar ini murid-murid juga dapat pembelajaran sepanjang hayat. Pembelajaran ini tidak terhad kepada bilik darjah sahaja tetapi ada di mana-mana sahaja ketika berada di luar sekolah.
Antara tempat yang dilawati adalah Kampung Budaya Terengganu, Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), Masjid Kristal dan Mayang Mall.
Di Kampung Budaya Terengganu ternyata menarik minat mereka khususnya dapat mengenali rumah-rumah tradisional, rumah pembesar, mengenali permainan tradisional serta kehidupan masyarakat tradisional dahulu kala.
Mereka turut dibawa ke Masjid Kristal yang begitu popular dan terkenal di Terengganu. Di sini mereka didedahkan dengan keunikan dan seni bina masjid.
Sementara itu, penyelaras dan guru Tahun Enam, Siti Fatimah Az-Zahra Sahabudin berkata, lawatan tersebut dapat meningkatkan kreativiti dengan mendedahkan mereka kepada idea baharu khususnya ketika melawat Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu.”
Murid-murid yang menyertai juga sekali gus dapat menggalakkan hubungan sosial iaitu dapat memupuk semangat kerjasama dan meningkatkan komunikasi dalam kalangan murid-murid dengan orang luar khususnya rakyat negeri Terengganu.
Lawatan ini tidak melibatkan tajaan atau belanja daripada pihak luar tetapi menggunakan duit murid-murid sendiri.
Mereka telah diperjelaskan tentang lawatan yang akan diadakan. Di sinilah murid-murid yang berminat akan cuba berjimat cermat dalam berbelanja dan ada yang memecahkan tabung semata-mata ingin turut serta mengikuti lawatan. – UTUSAN