SEREMBAN: Seramai 368 orang daripada 460 penduduk di Kampung Orang Asli Chergun dan Guntur di Kuala Pilah telah menjalani saringan kesihatan bagi mengesan kes kusta sehingga 19 Februari lalu.
Exco Kanan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, bagaimana situasi kusta di perkampungan berkenaan adalah terkawal.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi negeri sehubungan itu berkata, berdasarkan pemantauan dan tindakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Negeri Sembilan, tiada keperluan untuk mengadakan pengasingan atau kuarantin terhadap penduduk di kawasan yang terlibat.
“Sehubungan itu, kerajaan menyeru agar masyarakat tidak panik dan terus memberikan kerjasama kepada pasukan kesihatan dan pihak berwajib dalam usaha pengesanan serta kawalan jangkitan.
“Kerajaan negeri bersama Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kemajuan Orang Asli akan terus memantau situasi ini dengan rapi dan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara,” katanya kepada pemberita hari ini.
Jalaluddin dalam pada itu meminta orang ramai untuk mendapatkan maklumat sahih daripada pihak berkuasa dan mengelakkan sebarang penyebaran maklumat tidak tepat,” katanya. – UTUSAN