PETALING JAYA: Sebanyak 336 buah kontena disyaki barangan sisa elektronik (e-waste) telah diperiksa dalam operasi khas e-waste Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di Pelabuhan Klang, Selangor.
Ketua Pengarah JKDM, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, operasi khas tersebut dijalankan pada Ogos 2024 sehingga Disember lalu.
Beliau berkata, daripada jumlah terbabit, sebanyak 306 buah kontena disahkan sebagai barangan e-waste dan ia telah diserahkan kepada JAS.
JKDM juga katanya telah mengambil langkah proaktif penguatkuasaan secara berterusan bagi mengekang aktiviti penyeludupan di pintu-pintu utama pelabuhan.
“JKDM ingin menegaskan bahawa pendirian pihak jabatan adalah jelas dan tegas iaitu tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pihak yang terlibat dengan penyeludupan serta pelanggaran undang-undang yang berkuatkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, JKDM akan terus bekerjasama dengan JAS dan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim) dalam menangani isu penyeludupan e-waste dan skrap ke negara ini.
Ujar beliau, bagi kes-kes yang melibatkan skrap, JKDM akan menjalankan siasatan ke atas mana-mana orang yang melakukan kesalahan dan boleh diambil tindakan mahkamah.Jelasnya, tindakan mahkamah itu membabitkan isu pengikraran tidak betul atau tidak benar.
“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 133 Akta Kastam 1967.
“Bagi kes frod, jika sabit kesalahan mahkamah boleh menjatuhkan hukuman di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967,” katanya.-UTUSAN