GEORGE TOWN: Kira-kira 33,500 pengguna di kawasan Air Itam, Farlim dan Paya Terubong dijangka berdepan gangguan bekalan air selama 18 jam bermula pukul 9 malam, Jumaat ini sehingga 3 petang, Sabtu keesokan harinya.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir. K. Pathmanathan berkata, gangguan bekalan air berjadual itu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pelencongan saluran paip utama bersaiz 600 milimeter (mm) di kawasan Lebuhraya Thean Teik, berhadapan Pasar Farlim di sini.
Katanya, langkah itu penting untuk memastikan keselamatan infrastruktur bekalan air yang terletak dalam kawasan Projek Jalan Pintasan Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu – Air Itam terjamin.
“Kerja-kerja ini melibatkan penutupan sementara lima injap di lima rumah pam bagi membolehkan penyambungan akhir saluran paip dilakukan dengan selamat.
“Oleh itu, penduduk di kawasan terjejas disaran untuk menyimpan air secukupnya bagi kegunaan masing-masing sepanjang tempoh gangguan ini berlaku.
“Dalam hal ini, PBAPP memohon maaf atas kesulitan yang berlaku dan berharap orang ramai memahami keperluan projek ini untuk manfaat jangka panjang,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, gangguan bekalan air ini juga telah mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melalui surat rasmi yang diterima PBAPP pada 17 Februari.
“Pengguna yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman Facebook rasmi PBAPP atau menghubungi Pusat Panggilan 24 Jam PBAPP di talian 04-255 8 255,” katanya.-UTUSAN