TUMPAT: Lapan buah treler membawa muatan 317,000 biji kelapa tanpa dokumen pembelian sah ditahan Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA), Briged Tenggara di tiga lokasi di sini, semalam.
Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, semua treler berkenaan ditahan selepas dikesan dipandu dalam keadaan mencurigakan di Masjid Bunohan, Pasar Pasir Pekan dan Kampung Kubang Panjang.
Katanya, rampasan berkenaan dilakukan menerusi Op Taring Wawasan bermula pukul 3 pagi hingga 8 pagi.
“Hasil pemeriksaan dalam lori terbabit menemukan 317,000 biji kelapa yang dibawa dari Batu Pahat, Johor tanpa dokumen pembelian sah untuk dihantar ke sekitar Tumpat.
“Seramai 13 individu berusia antara 19 tahun hingga 70 tahun ditahan termasuk pemandu dan kelindan yang dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup kelapa tersebut ke negara Thailand,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Nik Ros Azhan berkata, anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM8.3 juta termasuk kenderaan manakala kes disiasat mengikut Akta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan 1965 (FAMA). – UTUSAN