KUALA LUMPUR: Seramai 300 murid dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alam Damai dan SMK Orkid Desa menerima sumbangan persekolahan beg sekolah, set peralatan alat tulis serta sumbangan wang tunai.
Kedua-dua sekolah tersebut merupakan sebahagian daripada 10 sekolah menengah harian di bawah Parlimen Bandar Tun Razak dan antara 2,000 murid tingkatan lima yang menerima sumbangan khas ini.
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin berkata, program ini bertujuan meraikan murid-murid dari keluarga yang kurang berkemampuan memulakan musim persekolahan dengan penuh ceria.
Beliau berkata, ia sekaligus meringankan beban ibubapa, memberi penghargaan dan sokongan kepada masyakat di parlimen ini.
“Program ini adalah ilham dan keprihatinan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mahukan kelainan kepada penerima sumbangan yang merupakan murid-murid tingkatan 5 bagi tahun 2025.
“Hari ini, murid-murid menerima sumbangan berupa beg sekolah, wang tunai, dan alat tulis. Beg sekolah yang diterima direka khas dengan nama masing-masing, tingkatan terkini, logo sekolah, dan logo Malaysia Madani. Rekaan unik ini bukan sahaja memberi kelainan tetapi juga menjadi kenang-kenangan berharga selepas mereka menamatkan persekolahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Sumbangan Persekolahan Murid-Murid Tingkatan 5 di SMK Alam Damai Dan SMK Orkid Desa.
Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak memperuntukkan sebanyak RM450,000 bertujuan membantu meringankan beban keluarga serta memastikan murid-murid mendapat keperluan persekolahan yang mencukupi.
Tambah Azman, pendidikan merupakan medium penting dalam kehidupan manusia dan ilmu yang dipelajari dengan bersungguh-sungguh akan menjadikan seseorang itu cemerlang dan berjaya.
“Para pelajar perlu terus fokus pada pembelajaran dan berusaha menjadi individu cemerlang yang membanggakan ibu bapa, menggembirakan guru serta menjadi contoh kepada rakan-rakan. Kamu merupakan bakal pemimpin yang akan menjadi tunjang kepada kesejahteraan dan kemajuan negara pada masa hadapan,” ujarnya.-UTUSAN