PETALING JAYA: Sebanyak 30 fasiliti kesihatan di Sarawak telah terjejas akibat banjir yang melanda, namun 22 fasiliti sudah berjaya beroperasi semula bagi memberikan kemudahan rawatan kepada mangsa yang terlibat.
Kementerian Kesihatan dalam kenyataan memaklumkan, terdapat 27 fasiliti kesihatan di Sabah yang terjejas banjir dan kesemua fasiliti tersebut sudah beroperasi semula.
Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak dan Sabah sudah menggerakkan pasukan perubatan dan kesihatan masing-masing ke semua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang terjejas.
“Di Sarawak, sebanyak 37 pasukan perubatan dan 30 pasukan kesihatan sudah dihantar, manakala di Sabah, 16 pasukan perubatan dan 27 pasukan kesihatan juga digerakkan untuk memberikan bantuan.
“Sehingga kini, seramai 9,379 mangsa sudah diperiksa dan diberikan rawatan di PPS,” katanya.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam sudah mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada (kuning) bagi Barat Sarawak yang berkuatkuasa bermula esok hingga 5 Februari ini.
Berdasarkan laporan, beberapa kes penyakit berjangkit sudah dikesan, termasuk 671 kes jangkitan salur pernafasan akut, 82 kes jangkitan kulit, 37 kes gastroenteritis akut, 17 kes konjunktivitis serta satu kes penyakit tangan, kaki dan mulut.
Namun, tiada kes cacar air, tifoid, leptospirosis, Covid-19 atau wabak lain yang dilaporkan di PPS.
Selain itu, Kementerian Kesihatan turut menggerakkan pasukan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) untuk membantu mangsa banjir yang terjejas emosi.
“Tiga pasukan MHPSS terdiri daripada Pakar Perubatan Keluarga, Pegawai Perubatan, Pegawai Psikologi, anggota paramedik serta petugas kesihatan daripada pelbagai kategori sudah melaksanakan aktiviti intervensi melibatkan teknik relaksasi, ekspresi seni serta psiko-pendidikan.
“Sehingga kini, tiada mangsa banjir dikesan memerlukan rujukan ke hospital untuk masalah kesihatan mental,” katanya.
Kementerian itu turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengutamakan keselamatan, menjaga kebersihan diri dan makanan serta mengambil langkah pencegahan penyakit berjangkit seperti yang disarankan pihak berkuasa.
Katanya, masyarakat juga diingatkan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dan memantau maklumat cuaca terkini.
“Dalam situasi yang mencabar, Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai agar sentiasa menyediakan peralatan dan dokumen penting yang perlu dibawa bersama sekiranya perlu berpindah serta segera mendapatkan bantuan jika menghadapi tekanan emosi.
“Kementerian berharap dengan kerjasama semua pihak, kesihatan dan keselamatan mangsa banjir dapat dipelihara sepanjang musim banjir ini,” katanya. – UTUSAN